Sunday, August 3, 2008

SAJAK-SAJAK SEMPENA MENYAMBUT 1 SYAABAN 1429 H dan BULAN KERAMAT OGOS. ( BULAN KEMERDEKAAN )

ANAK WARISAN MERDEKA
Nukilan Hassan Baseri Budiman

Akulah anak warisan merdeka -
yang tidak pernah jemu mengenang detik kemenangan
yang pernah dibangunkan nenek moyangku
puluhan tahun lamanya.

Dan akulah anak warisan merdeka itu
yang lahir daripada ceritera sejarah kemerdekaan
sebuah negara bangsa berdaulat dan bermaruah.

Siapa lagikah yang akan bercakap
tentang protektokrat dan koloni
tentang Harold MacMicheal -
tentang memorandum Malayan Union
dan tentang segala detik kritikal
yang pernah meluapkan darah perjuangan Melayu yang hampir
menitis seperti tertitisnya darah Bahaman
dan darah Mat Kilau yang basah di persada bangsa.

Demikianlah yang pernah dimeterai - sebuah ceritera usang
sejarah kemerdekaan Malaysiaku yang cukup besar maknanya
sebuah nahdah - sebuah wasilah - sebuah mauduk
dan sebuah pintu
yang menjadi lorong laluan kemerdekaan
yang berterusan sampai saat ini.

Akulah anak warisan merdeka -
yang lahir dalam rumpun negara bangsa yang terbilang
negara tinggalan paduka Almarhum Dato’ Onn Jaafar,
Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak
dan negara tempat bertahan penghamburan segala sisa
jerih derita anak bangsa
yang saban musim menempikkan semangat
MERDEKA.

Sebuah ceritera merdeka adalah prakarsa anak bangsa
yang dikurniakan suara gemuruh dengan tangan – tangan berkepal
di bawah jumud mentari kebebasan yang leleh
yang diberikan semangat dalam pekik suara merdeka
yang bergabung kemudiannya dalam satu rangka
yang mencetuskan perjuangan terus menerus
yang kemudian menjadi tembok keutuhan yang menunjang.

Aduhai anak warisan merdeka -
mari sama kita menyanggah gerak semarak
dalam persemadian ceritera
mari sama kita gempur tabur segala adegan gawat yang bersemuka
mari sama kita tentang segalanya
yang menjadi petualang negara
biar pentas merdeka ini tidak sekadar menjadi ilustrasi sejarah
atau omong kosong - atau sekadar ilusi sebuah mimpi
kerana segala ceritera merdeka itu milik kita bersama
milik anak – anak warisan merdeka.

No comments: